Meninggal Dunia Ed Osmera

Allahyarham Shaikh Osman Shaikh Ibrahim (63) menghembuskan nafasnya ketika berehat bersendirian di dalam biliknya pada jam 2 petang di kediamannya di Kampung Laksamana Batu Caves pada tanggal 2 Januari 2005.

Pelakon berkenaan yang berasal dari Kelantan dan tidak pernah berkahwin, tinggal bersama abangnya, Sheikh Ahmad Ibrahim, 64. Allahyarham meninggal dunia dua minggu selepas dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur selepas sebulan menerima rawatan di institut berkenaan.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di kediamannya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tua, Batu Caves, kira-kira jam 7 malam. Turut menziarahi jenazah di kediamannya ialah pengarah filem, Datuk Yusof Haslam dan Yusof Kelana, pelakon M. Rajoli serta wartawan veteran, Aimi Jarr.